Tuesday, 31 July 2012

Kisah cinta orang kaya lebih sweet?

Sambil melayan drama Dejavu di Kinabalu tadi...
saya terfikirkan satu perkara.

Adakah kisah cinta orang-orang kaya ni lebih sweet?
lebih menyentuh hati dan perasaan.
adakah benar juga angkara lebihnya duit?
banyak masa, boleh aje dilayankan.
(ish...macam pantun la pulak. ye dak? hahaha..)

tapi cer fikir balik.
bila tengok watak orang-orang kaya dalam drama tu.
tak kisahlah dalam mana drama-drama pun.
watak-watak mereka beruntung betul dapat melayan karenah percintaan.
bila ada masalah cinta je....boleh pulak tetiba tinggalkan kerja membawa diri ke mana-mana.
tak bertanggungjawab betul.
adegan selalunya kat airport la.
beli tiket, terus keluar negara.
tak pun, bawak kereta laju-laju sampai nyaris accident.
lagi lagi tak pun......pi mabuk-mabuk kat disko.
hoho....drama sungguh!

yang adegan sweet-sweet pulak,
beli present mahal-mahal.
tak pun buat surprise yang gempak-gempak.
lagi lagi tak punnn......beli bunga satu bonet!
wah! boleh pitam mokcik kalau encik hubby buat macam nih. hahaha...

seronok, kan?
banyak duit, ada masa la berdrama.
suka-suka hati layan perasaan.
sampai macam nak meroyan.
kadang-kadang tengok,  "eh? diorang ni semua watak tak beriman ke?"
tak percaya, layan la Dejavu di Kinabalu tu.

Uzma yang kecewa, terus bawak beg balik ke Australia.
(macam la family dia asal dari sana. haha.)
Bazli yang serabut fikiran pergi disko sampai mabuk.
Ammar yang macam tak redho awek dah meninggal lebih 3 tahun.
(kemon....melampau betul, ok.)
Nadira yang meroyan entahapehape.
(dah start menyampah nengok watak dia neh..)
Tira yang psycho jugak.
(adehhhh.....takde pelakon lain ka?)
banyak lagilah.
belum lagi bab kemunculan hantu inara dan nadira.
sampai macam tu sekali melayan perasaan.
wakaka......spoil habis dibuatnya.

tapi apa nak buat.
saya adalah insan yang berpijak di bumi nyata.
takde can nak layan feeling-feeling nie.
baru je tadi tinggalkan opis pergi pejabat pos, terkantoi dengan bos pun dah rasa bersalah sangat.
apatah lagi tiba-tiba tinggalkan opis,
pergi airport terus beli tiket ke Kundasang.
mau balik nanti tak ada kerja dah. LOL.....




Saturday, 28 July 2012

Sisterhood

memiliki adik beradik yang ramai dan selalu seia sekata adalah salah satu nikmat syurga dunia.
kakak-kakak dan adik perempuan saya adalah antara wanita-wanita yang saya kagumi di dunia ini.
merekalah tempat berkongsi rasa, dan bermacam-macam jenis kongsi lagi.
tak perlulah dinyatakan pujian lebih-lebih ini cukuplah dengan perkataan sisterhood yang biasa kita dengar.

bukan tak pernah bergaduh atau tiada langsung sessi sentap menyentap
tapi tak pernah disimpan lama.
dan paling best, langsung tak payah ada acara minta maaf segala.
cukuplah bercakap semula seperti tiada apa berlaku.
itulah cara kami adik beradik.
mak selalu pesan... 'jangan dikutip'
maksudnya, jangan sentap sikit, simpan.
sentap sikit je simpan.
akhirnya terkumpul dengki, terkumpul dendam.
bukankah akhirnya memakan diri?

setiap kali nak berhari raya adalah sedikit hadiah kecil untuk adik-beradik perempuan perempuan saya.
tapi kali ni macam pening sikit sebab banyak pilihan. hihi....

raya tahun ni masing-masing beraya dengan mertua dulu.
makanya raya kedua/ketiga baru dapat berkumpul semua.
wahhh....rasa macam tak sabar.


#kami di sesi berpoyo-poyo di hari raya 2011. haha..

p/s: sayangi adik -beradik anda. :)



Friday, 27 July 2012

Rasa Bersalah dengan Blog?

sejak wujudnya blog ni, boleh kata hari-hari mengadap blog.
kalau tak hapdet pun mesti nak buka juga.
pastu nak baca juga blog-blog lain.
rasa lebih wajib buka blog daripada nak buka fb.

malam tadi langsung tak buka.
padahal rileks je rasa.
dan perasaan itu datang tetiba hari ni.
rasa bersalah kat blog sendiri sebab telah mengabaikannya sehari.
eh? macam la blog ni makhluk bernyawa pulak dah.
hahaha...

errr....boleh ke feeling macam ni? :D

p/s: jom banyakkan mengaji. Kalau malas pun, sambil ngadap blog bacalah surah pendek2 mcm al-Insyirah ke....surah al-Ikhlas ke.... dapatlah juga pahala. Tak gitu?



Tuesday, 24 July 2012

Fefeeling kat Jepun pulak...

Sekarang ni musim pokok Tabebuai pentaphylla/ pallida sedang menguntum indah.
saya belajar nama tu la.
tapi di Malaysia ni panggil pokok Tacoma je.
ada dua kaler.
pink dan putih.
lawa betul bila berbunga lebat.
fefeeling macam kat Jepun kekdahnya.
ala ala bunga sakura gitu.
tapi lebih besar sikit.

#pokok Tacoma yang sedang berbunga tanpa daun. Tempat feveret saya parking kat bawah pokok ni la.


#ushar dekat sikit. Lawa, kan?

sekarang ni kalau drive balik kerja,
bawak slow sikit nak menikmati pemandangan indah kiri kanan jalan di kawasan perumahan saya.
bunganya berselang seli kaler pink dan putih.
hilang penat redah jem sebelum tu.

tapi tu la...
bila dah parking bawah pokok ni, esok pagi kena buat kerja tambahan.
kena kutip bunga-bunga yang jatuh atas kereta.
tak pe la.
cantik punya pasal,
mokcik sanggup.
balik kerja petang nanti, parking lagi kat situ. :p




Monday, 23 July 2012

Sabaarrrr

Disamping gelaran bulan penuh keberkatan,
Ramadhan juga terkenal dengan bulan penuh kepenatan.
Masa seakan tidak cukup dibuatnya.
tapi itulah ujian namanya.
nak tak nak kena hadaplah segala.

contoh paling senang -------> traffic jammed
semua orang nak balik awal sebab nak menyediakan menu berbuka.
mana yang beli-beli, mana yang nak masak-masak...
makanya jalan pun jadi jammed tak seperti biasa time balik kerja.

puasa2 ni kalau bawak kereta manual dalam jammed, memang penat ye kenkawan.
belum ditambah perangai driver lain yang bikin panasss jer.
panas + letih = menuntut kesabaran tinggi.
tambah lagi kalau lapo......adoyaiii....takleh kata apa.

dah sampai rumah, nak kena bersilat pulak di dapur.
selepas mendaki tangga ke tingkat 5.
layan karenah anak-anak lagi.
jenuh wooo......
ok... perenggan di atas ini adalah rutin, bukan bulan Ramadhan sahaja.
tapi entah kenapa, di Bulan Ramadhan memang terasa kelam kabut.
rasa asyik tak cukup masa.

apa pun..sendiri mau ingat, susah payah ini dibayar pahala berlipat kali ganda.
(memujuk diri sendiri kekdahnya... hihi)
yang susah jadi mudah jika kita redho.
bersabarlah kita semua hendaknya dalam menempuh Ramadhan yang mulia ini.
Amiiiin.....

#di Highway KESAS laluan saya ulang alik pergi kerja. Lori besar dan kontena macam berlumba je gayanya.
Masing-masing eksyen nak lane paling kanan. Sabo je laa....

Selamat Berpuasa!



Saturday, 21 July 2012

Salam Ramadhan


Ramadhan menjelma lagi.
Alhamdulillah masih dipanjangkan usia untuk bertemu Ramadhan tahun ni.
Jom sama-sama berniat sebulan puasa takut-takut terlupa berniat hari-hari.
Macam mana dgn sahur pertama?
saya simple2 je.
saya tengok di FB, kebanyakannya ramai bersahur dengan lauk sardin dan telur.
menu simple tapi pembuka selera jugalah.
lagi pun itu menu yang senang dimasak time mata tak berapa larat nak dibuka, ye tak?

Qisya pun join bersahur sekali tadi.
tak mengapalah asal jangan melalak sudah.
tak lalu nak mendengonya pepagi. huhu...

sebagai tradisi nak menyambut ramadhan,
saya lebihkan duit belanja Amsyar seringgit.
so, semalam duit belanja dia jadi rm3 untuk sekolah pagi dan petang.
selalunya dengan RM1 dia hanya dapat membeli nasi lemak/ bihun goreng/ nasi goreng di kantin.
air pulak bawa bekal je dari rumah.

semasa sembang dengan dia semalam..
"mama tambah seringgit ni Amsyar boleh beli apa? Air berapa posen?" tanya saya.
"air harga singgit, ma." jawab dia.
"takde air bancuh yang kena cedok-cedok tu?"
"takde. air kotak je." terdiam saya.

no wonder la kawan-kawan dia dibekalkan RM5 malah ramai juga yang RM10.
kesian sungguh saya dengan dia.
dengan membawa air masak dan RM 1 sekolah pagi dan RM 1 sekolah petang, dia hanya dapat membeli satu menu sahaja.
patutlah bila balik rumah, bising lapar.

zaman saya sekolah dulu, belanja 30 sen je dari darjah satu sampai darjah 6.
10 sen beli nasi lemak bungkus (memang kecik), 10 sen beli kuih dan 10 sen beli air.
kalau nak portion lebih sikit, beli nasi lemak dalam piring 20sen dan air 10 sen yang biasanya adalah air sirap.
kalau dah nak puasa, mak upgrade duit belanja sekolah (saya tiru mak saya le ni...hihi)
jadi 50 sen.
wah! heaven sungguh.
nasi lemak upgrade lagi jadi 30 sen, kuih cucur badak feveret saya 10 sen dan air sirap 10 sen.
kenyang gila time rehat tu. hahaha....

semalam saya tambah RM1, tiada maknanya sangat buat amsyar.
dapatlah dia beli keropok katanya.
tak mengapalah.
hati mama agak sedih, tapi mama ni nak dia belajar berjimat.
menghargai setiap sen yang dia dapat.
tapi Alhamdulillah dia tidak pernah komplen atau mengeluh.

semoga dia dapat menghabiskan puasa tahun ni.
tahun lepas tak cukup sebulan sebab tak sihat.
mudah-mudahan....

Salam Ramadhan buat semua.
minta maaf di atas segala salah silap hasil tulisan saya yang mungkin menyinggung perasaan sesiapa jika ada.
semoga ibadat di bulan Ramadhan kali ini lebih baik dari sebelumnya... :)



Thursday, 19 July 2012

Antara Samosa dan Karipap

Saya adalah peminat samosa tegar.
encik hubby pulak kipas susah mati karipap.
dah nak masuk ramadhan ni,
dua-dua menu ni berselang selilah di atas meja.
tak pun kadang-kadang, ada dua-dua jenis tu.

#karipap kegemaran encik hubby di Kapar nun..

tapi bulan ramadahan ni biasa jumpa karipap kecik je la.
walau pun ada juga yang menjual karipap saiz mcm dalam gambar tu,
kebanyakannya tak sedap.
pastu ada bubuh telur la pulak.
i olls adalah tak minat.

yang kat Kapar ni sedap sebab dia bubuh daging/ayam sahaja.
banyak pulak tu portion dia.
takdelah kalau kita beli tu tulis karipap ayam/daging tapi tak nampak pun isi ayam/daging tu.
yang nampak kentang sahaja.
dan di bulan ramadhan ni juga ada juga peniaga yang tak ikhlas.
sama ada jual karipap basi atau karipap kosong.
makan kulit je tapi takde isi.
saya pernah terkena beli karipap yang kosong kat bazar ramadhan kompleks PKNS.
sabo je la...


#my feveret samosa.. (dah gigit baru teringat nak snap. ekeke..)

di bazar ramadhan berhampiran rumah saya ada menjual samosa yang digoreng panas-panas.
70 sen satu.
tak tahulah tahun ni ada ke tak.
harap-harap ada.
siyes sedap.

bukan apa, bila makan samosa fefeeling berbuka puasa dengan family di Kuala Kangsar.
Best fren mak saya yang berniaga samosa selalu bagi free kat kami.
makanya hari-hari mengadap samosa di bulan puasa.
duduk merantau macam ginilah,
asyik teringat kampung halaman.
yang sipi-sipi pun jadilah.

eh? u olls macam mana?
minat karipap ke samosa?




Wednesday, 18 July 2012

Annoying

Ceritanya macam ni...
semalam bawak tester biskut raya ke opis-opis lain.
tapi takde la tunggu.
main letak je mintak tolong kawan-kawan.
on the way nak masuk opis jabatan saya, saya terserempak dengan sorang staff jabatan lain di ruang legar lif.
saya senyum kat dia tapi dia buat muka macam harooommm...
eksyen tetibe tak kena gaya kekdahnya.
apa masalah dia ni tak tahu la.

disebabkan nak pergi opis jabatan saya kena lalu opis dia,
saya pun menyinggah kejap jumpa kawan saya yang seopis dengan staff tadi tu.
berborak jap pasal biskut raya. hihi..
dah ada kat situ, staff opis kat situ yang nampak saya terus suruh saya ambil cek.
ok. terus pergi ambil cek.
lepas tu teringat pulak pasal duit ganjaran yang belum diterima.
terus jalan ke meja staff yang uruskan pasal ganjaran pulak.
bersebelahan la pulak dengan staff yang saya jumpa kat ruang legar lif tadi.

"cepatlah uruskan duit tu. akak nak guna duit ni." kata saya kat staff yang uruskan ganjaran.
"eh? baru jer dapat rmxxxx!" tetiba dengar suara sumbang di belakang saya.
makanya hati saya pun berkata-kata.
'ko tahu masalah haku ke? tahu perancangan haku ke? tetibe nak menyampuk orang bersembang. Dah la tadi buat muka macam harooomm...'
hoiihhh.....annoying gile.

p/s: pagi2 dah cerita menyampah. sabo je la u olls...huhu..




Tuesday, 17 July 2012

Senang sangat terkoyak ke?

Semalam, masa nak bayar duit tol, juru tol telah reject duit saya.
Check2 tengok dah terkoyak.
aik? sape bagi duit koyak ni?
masa bila?
adoiii....

terkena lagi.
duit nilai yang sama pulak tu.
RM5.

geram jugak saya ni.
asyik terkena dengan duit RM5 yang koyak.
selalunya boleh jugak la di selotapekan.
tapi yang macam ni, tak dapek la.
ce  u olls tengok....

#terkoyak kat nombor siri pulak tu...

encik hubby dah bising,
lain kali kalau nak terima duit tu check betul-betul.
ok. baiklah.
kadang-kadang tu tak sempatlah kalau dah kelam kabut dengan customer.
terlepas pandanglah kita ni, ye tak?

ke....duit RM5 nie memang senang terkoyak?



Sunday, 15 July 2012

Cobaaaannnn....

Happy betul tengok Dr. Fazley kita dapat masuk final Masterchef Selebriti.
memang cool je sejak dari mula Dr. Fazley ni.
moga berjayalah hendaknya.

tadi balik berniaga,
lepas mandi, solat dan makan terus tertido sampai dah nak masuk Maghrib.
hambekk....
tapi bila bangun, rasa macam tak cukup rehat jugak.
lepas je solat maghrib, kena uruskan baju bertimbun pulak.
mana yang nak dilipat, disusun...diiron... adehhh....
cobaaannnnn....

pastu, boleh pulak terlepas pandang orang booking dress Audrra Blossom.
mak aiii......kalaulah tak terlepas pandang, mesti dah settle urusan baju.
tinggal pos je esok ni.
tapi, apa boleh buat.
harap-harap customer tak cancel order.
cobaan lagi.

thanx to Boni yang sudi menepekkan banner Audrra Blossom di blognya.
memang kacak. hehe...
siapa2 yang ada bisnes yang nak diiklankan, silalah contact Boni ye.
harganya amat berpatutan.

owh....berbalik kepada isi entri ini tadi.
ahad depan Ramadhan pertama berniaga di Bazarena.
macam manalah agaknya. huhu..
tadi pun minum berbotol-botol air sebab cuaca panas.
macam mana pulak kalau puasa?
adehh..
cobaaannnn......

p/s: harap-harap semua yang membaca blog ini dah habis ganti puasa. :)




Friday, 13 July 2012

Jalan dah ditunjuk

Kadang-kadang rasa nak menitik air mata dengan karenah customer.
mokcik niaga kecik-kecik je tapi serius tau.
bukan main-main.
jadi, tolong la jangan main-main dengan mokcik. huhu..

mana la mokcik hampir nak menitik air mata,
nak klik 'link' pun tak reti ka?
sila klik -----> Audrra Blossom
perkataan Audrra Blossom tu.
kalau nak tengok baju ke, telekung ke, eksesori ke....

rasanya tiap kali cerita pasal dress dengan telekung mesti letak link.
tapi masih ramai lagi yang tanya....'nak tengok kat mana? tak de, pun?'
alahaiiii......
serius nak menitik air mata.
adakah kerana mokcik suka letak 'hahaha...' dalam kebanyakan entri mokcik,
makanya mokcik adalah raja lawak? huwaaa....
nak nanges, tau.

takkan tiap kali upload produk, semua nak tenyeh kat 'sayanakcerita' ni.
semak le kan.
Audrra Blossom dah ada, menyemak kat sini adalah pelik.
serabut pun ada.
makanya saya masih nak membantu u olls dan menambah semak sayanakcerita nie.
kat sebelah tu dah ada fanpage Audrra Blossom untuk di 'LIKE' dengan jayanya oleh u olls.
senang gitu.
kalau ada masalah tak dapat tengok atau tak jumpa lagi Audrra Blossom mokcik nie, tak tahu la.
mau mokcik meraung sampai esok lusa.

tapi betul pun rasa nak menitik air mata...
cer tengok nih..

#cantiknya.....rasa nak rembat je untuk Qisya....

#yang ni pun cantiknya laaahhh...... nak nanges rasa nengoknya mengenangkan masa kecik2 dulu tak pernah merasa pakai dress Burberry ...huhu..

hah, apa lagi?
silalah like page Audrra Blossom dan jamu mata di sana.
nak best price, silalah pm.
tak pun sms je 019-2764682.
senang je kan?



Thursday, 12 July 2012

Jika rezeki sudah tertulis begitu....

Semalam, terkocoh-kocoh nak balik cepat sebab nak masak makan malam.
selalunya masak nasi dan lauk pauk simple.
tapi semalam tetiba teringin char koey teow.
nak goreng ala-ala char koey teow Sungai Dua yang sedap macam kat Kulim nun.
pehtu berangan nak makan goreng pisang panas. 
walah.....sedapnya.
harus balik cepat-cepat.

sampai-sampai kedai runcit Aceh yang dekat dengan rumah tu,
tak teringat langsung nak beli kerang dan taugeh.
puncanya sibuk memilih pisang.
memang teringin sangat makan pisang goreng.
tapi pisang abu kat kedai tu masih belum masak.
ehh...mana boleh jadi ni.
tekak dah teringin sangat ni.
nak makan pisang goreng jugak.
capai pisang awak, bayar dan terus keluar kedai.

sampai-sampai kat rumah, baru teringat pasal kerang dan taugeh.
alamak! nak turun balik, idak kosser la der..
rumah mokcik takde lif.
makanya masak la apa bahan yang sedia ada dalam fridge.
terbang hilang la rezeki nak makan char koey teow di petang rabu sambil layan drama Dejavu di Kinabalu.
char koey teow dah bertukar menjadi mi goreng.


#mi goreng main campak-campak namanya... :p

lepas tu goreng pisang awak pulak.
walaupun dalam hati teringin nak makan pisang goreng pisang abu (eh? paham tak ayat nih?)
pisang awak pun jadi la.
saya pilih buah pisang yang baru nak masak sebab saya tak suka makan pisang goreng yang menggunakan pisang dah masak sangat. lembik.
tapi tu la, pisang awak yang tak benar-benar masak, rasanya kelat sikit.
tapi apadehal....celup je dengan susu krimer.
sedap wehhh makan panas-panas.

#pisang goreng yang sedap ialah pisang goreng yang menggunakan pisang yang baru nak masak dan dipotong  tiga dan digoreng dengan bancuhan tepung beras, kunyit dan garam. paling best, menggunakan pisang abu. walaahhh....

Perancangan hati, nak makan char koey teow dan pisang abu goreng.
tapi yang dapat ialah mi goreng dan pisang awak goreng.
dah tertulis rezekinya begitu.

dan tadi...
saya telah menerima sepucuk surat dan sepucuk memo.
memo untuk menghadiri rehersal untuk esok.
dan surat yang mengatakan.....

#Tahniah dan Syabas kepada puan bla bla bla...

Gembirakah?
nak mencak melompat sangat, kata kang....memang teringin bebeno tak pun perasan bagus.
nak buat derk je, kata kang.....eksyen beno pulak macam tak hadap atau tak kisah je anugerah orang nak bagi.

makanya, saya akan menerima semua ucapan tahniah dengan senyuman, insyaAllah.
semua datang bekerja dan membuat kerja seikhlasnya.
tapi nak buat macam mana...
dah rezeki saya tertulis begitu.
Alhamdulillah..... :)



Wednesday, 11 July 2012

Telekung Sulam Cantik

saya tak pernah dapat iklan yang disuruh tulis artikel oleh Nuffnang.
makanya tulis pasal produk sendiri je la. hik hik.. (gelak gedik nak kena lempang)

siapa nak membeli telekung cantik untuk ramadhan dan raya tahun ni?
saya dah upload koleksi baru di Audrra Blossom ye u olls.
tapi biasalah.
di sana tu sendu sikit tak meriah.
so, haruslah war-warkan kat sini.


Cantik tak?


 
Cantik tak? Cantik tak?


Cantik tak? Cantik tak? Cantik taaakkk???


Okeh.
tepek sikit je.
banyak lagi pilihan di Audrra Blossom .
kalau berkenan, pilih-pilih je lepas tu call le mokcik kat 019-2764682 untuk proses tawar menawar kalau nak harga diskaun.
Senang je kan?
Ok....sekian iklan tak berbayo ni...hihi..




Tuesday, 10 July 2012

Selamat datang ke dunia

Disebabkan terlalu banyak event nak kena join,
makanya lambatlah melawat mamatasnim yang baru melahirkan baby girlnya yang diberikan nama Nur Tisya Humaira.
panggil Tisya dah dekat2 nama si Qisya la pulak.

Dah berusia lebih 20 hari baru dapat menjenguk dia.
sibuk bebeno aunty ni macam dah berpangkat tinggi gayanya.
mana taknya, dah makin tua disuruh dek deme nyanyi koir la, buat persembahan pentas la.
hehe....lawak la pulak.
takpelah.
bertindak mengikut arahan kekdahnya.


#inilah Tisya.....sedapnya tido. Suara aunty2 dah macam pakai mikrofon sorang-sorangnya pun dia tak buka mata jugak. Adoiii...

Hari Sabtu sebelum tu, dapat lagi seorang anak saudara.
7 Julai tarikhnya.
Baby boy yang comel kiut miut ni diberikan nama Ariq.
hanya 4 huruf.
sempoi la.
tapi makna namanya kemain panjang. :)

#Ariq yang sedap tido jugak langsung tak buka mata. 

Wah...
tahun ni terima ramai baby baru.
Aryan Faris dan Ariq anak saudara, Farisya Aiman pulak cucu saudara.
meriah mengadap baby la raya tahun ni...




Monday, 9 July 2012

Pemandu selfish

Ceritanya, pagi tadi nyaris kereta hadapan saya tak kena kemalangan dengan bas sekolah di hadapannya.
Bas sekolah tiba-tiba je masuk lorong di hadapan kereta tu.
lagi sikiiiittt je.

saya tak salahkan bas sekolah tu.
tapi kereta yang di hadapan saya.
apa kes, waktu baru pukul 6.45 pagi dan mendung pulak tu ko tak pasang lampu?
memang masih gelap lagi.
mesti bas tu tak nampak.
mengong.

saya geram betul pemandu macam gini, menyusahkan orang.
kalau lampu tu tak berfungsi terbakar ke, tunggulah waktu dah cerah.
ini nak redah jugak gelap-gelap tu.

lagi satu, bawak slow lepas tu memandu di lane tengah.
bikin panasss der.
tambah-tambah nak memotong di sebelah kanan tak dapat mencelah.
geram tau.

dan semalam...

#sabo je la dengan ini pompuan...

semua pam kat shell tu penuh.
ada pulak dua pam yang rosak. 
bertambah jammed la kat stesyen minyak tu.
dua kali saya tawaf stesyen minyak tu dan nampak la kelisa ni ingatkan dah dekat nak settle, so saya pun beratur belakang kereta dia.

punyalah lama tunggu, tapi tak gerak-gerak.
lepas tu Mat Bangla yang kerja kat situ pun pegi la tegur dia.
entah apa diorang cakap, saya tak tahu la.

Mat bangla pun datang bagitahu saya suruh sabar je dulu sebab si pompuan tadi tengah bergayut kat handphone dan dia telah marah-marah kat Mat Bangla tadi.
lepas tu....barulah dia terhegeh-hegeh keluar, baru nak swipe credit card dan baru nak pam minyak.
tak tahu nak guna pam pulak tu.
hahaha.....dalam geram, lawak pun ada.

disebabkan dia dah marah-marah kat Mat bangla tadi,
dia tak mintak tolong pun kat Mat Bangla tadi.
buat perangai bodoh sombong terkial-kial tekan pam lepas tu lepaskan berkali-kali.
tak reti nak guna penyangkut pam tu. 
saya pun dok perati je sambil sempat ambil gambar.
itu pun sebab dah boring giler menunggu dan Mat Bangla tadi pun kesian pergi tolng dia.

haha...adoi la pompuan...
len kali kalau nak bergayut lama-lama kat handphone, berhentilah di parking.
bukan kat tempat pam yang tengah busy dan banyak kereta dok beratur.
nasiblah kat belakang keta u ni, i olls.
kalau kena dengan kaki baran,
mau dah kena maki.

p/s: hairan dengan selfishnya manusia. Tiada perasaankah???






Saturday, 7 July 2012

Mokcik tumpang bangga!

Walaupun semasa entri ini ditulis, Perak kena belasah dengan Kelantan 6-0 dalam liga Malaysia....
i don't care sbb i olls tak minat bola. hihi...
semangat tengok bola ni hanya pada Harimau Malaya yang lawan dengan negara lain.
Patriotik, gitu.
kalau setakat negeri, lantak le.
(errr....boleh cenggini?)

Ada cerita yang lagi best dan membanggakan sejak semalam.
semalam terbaca pasal ni kat metro, pastu masuk TV3 pulak malam tadi.
wah....tumpang bangga mokcik dibuatnya.

IPOH: Pelajar Sekolah Raja Perempuan Taayah menerima anugerah pingat emas pada Pameran Antarabangsa Pereka Muda 2012 di Bangkok pada 28 hingga 30 Jun lalu untuk ciptaan inovasi 'Nutty-Notty' iaitu set membuka dan menukar tayar kereta mudah alih. FOTO Muhaizan Yahya (6/07/2012)


Walahhh.....hebatnya junior-junior mokcik ni.
Teringat zaman mokcik dulu yang menang pertandingan kawad peringkat negeri.
Walaupun bertudung dan berbaju kurung, tetap menang kawad.
Walaupun masa lawan netball dengan sekolah yang playernya berskirt pendek belaka, tudung mengerbang pulak tu, apadehal dengan bab menutup aurat?
masih menang jugak.
(FIFA pun dengar khabarnya dah luluskan negara yang menghantar player yang bertudung)
baguslah tu.

teruskan kecemerlangan!

Ustaz kesayangan yang masih mengajar di SERATA. Guru subjek Arab Komunikasi merangkap Guru kelas masa Form 5.  

p/s: sikit2 udah la ye mokcik....



Friday, 6 July 2012

Jalan-jalan di Pantai Morib

Jom bersantai-santai di Pantai Morib dengan Qisya.
Pantai yang best berangin seronok bermain layang-layang dan bubbles.
Entri milik Qisya tapi ditaip mama....kikiki...

 #jom Qisya bawak auntie uncle semua jalan-jalan di Pantai Morib.


 #mula-mula sampai kat sini, haruslah posing dulu menunjukkan ekspresi gembira. Ini gaya nak terbang namanya.


 #di sanalah Pantai Morib. Pantai di mana tentera Jepun pernah mendarat masa perang dunia kedua dulu.


 #sebelum itu haruslah closed up muka Qisya dulu. Usia dua tahun 1 hari di Pantai Morib.


 #mama saya suruh buat gaya-gaya sikit. gaya apa ni? Tak tau apa namanya. :p


 #waaaahhh.....dah sampai sini. Tapi gaya peace saya tak menjadi pulak dah...hehe..


 #luasnya laut. Cantik, tau.


 #dengan mama yang menyibuk juga nak masuk entri.


 #dah puas tengok laut, jom main bubbles pulak.


 #tengok. ramai yang bermain layang-layang kat sini.


 #abang Amsyar bermain layang-layang dan saya bermain bubbles sampai habis tumpah. :(


#dah puas bersantai di tepi pantai, masa untuk pulang.

Ok, tata dari Qisya.

p/s: Selalu datang sini sebab encik hubby jenis suka lepak di tepi pantai. :)



Thursday, 5 July 2012

Penangan berurut

Assalamualaikum......salam nisfu Syaaban.
sempena bertukar buku amalan kita pada hari ini, mari kita saling bermaafan sesama kita semoga catatan buku baru nanti lebih cemerlang.
jangan lupa juga membaca tiga kali yassin dengan tiga doa iaitu semoga ditetapkan iman, dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur.

ok. sempena nak sambut bulan puasa ni,
badan kenalah kuat dan cergas.
maka saya telah mendapatkan khidmat Bonda untuk berurut.
nak bagi ringan sikit badan ni konon2nya.
lagi pun, takkan kereta je nak kena servis,
badan pun kena jugalah ya.
malah lagi penting tau untuk melancarkan perjalanan darah.
sila take note bahawa banyak jenis penyakit datang dari masalah pengaliran darah tidak sempurna.
hoh...takut juga weh...

disebabkan badan nie dah lama tak berurut,
makanya banyak la angin yang dah terkumpul kat badan.
patutlah dah start sakit lutut bila naik tangga. :(
tapi sakitnya masa berurut ya Allah...
macam tak dapat tahan!
sakit giler....huhu...

tu la.
padan muka sendiri sebab lama tak servis badan.
maka saya dah nekad nak rajin berurut tiap kali dua bulan.
nak cuba rajinkan diri minum air rebusan sirih untuk membuang angin-angin dalam badan.
angin-angin ni tak elok tau.

#kalau banyak duit, boleh la manjakan diri kat spa-spa macam gini. Mesti best..

Pagi ni bangun, badan rasa ringan sikit.
tapi sakit tang perut kesan berurut masih belum hilang.
masa berurut semalam, itulah part yang paling sakit.
hoho....sakit tau.
tak tau la sebab manja tak tahan sakit ke apa.
tapi masa bersalin dulu, boleh pulak ye.
ok. sakit bersalin tu sakit pasrah.
nak buat macam mana.
tahan je lah. huhu...

kesimpulannya, (heheh...macam karangan kat sekolah pulak..)
walaupun berurut tu sakit, kesan kemudiannya adalah best.
badan jadi segar dan ringan.
siapa-siapa nak mengurut dengan Bonda, silalah melawat http://ayahdabonda7.blogspot.com/ .
kat situ ada contact number beliau.
harganya adalah berpatutan.
jom sama-sama sihatkan badan..