Penutup 2014

Assalamualaikum wbt..bismillah...

Lama sangat blog ini tak berhapdet.  Macam-macam hal yang berlaku di penghujung tahun 2014. Kampung saya dilanda banjir! Tak tau nak cerita bagaimana panik dan risau saya kerana bimbangkan mak. Sampai dah tak keruan kami adik-beradik yang berada di perantauan ni whatsapp perkhabaran keluarga di kampung. Mak pulak tak angkat telefon. waduhhh......tak dapat dikenangkan kelam-kabutnya bagaimana keadaan di kampung pada tarikh 23hb Disember 2014 itu. huhu...



Pemandangan biasa Sungai Perak di kampung saya. Tahun 2011.

Pada tarikh tersebut, air Sungai Perak mencecah tangga bahagian belakang dapur rumah mak dan abang saya. Manakala saudara-mara saya di kampung sebelah, ada yang rumahnya hampir tenggelam. Bencana ini yang kali terakhir berlaku pada tahun 1993, tidaklah seteruk ini. Saya pun belum pernah melihat air Sungai Perak di paras yang tinggi dan arusnya yang sangat deras begitu.  

Kampung saya turut kehilangan jeti bot penambang. Tempat lepak orang kampung dan tempat bertegur sapa sesama penduduk kini hanya tinggal memori apabila ianya hanyut dibawa arus. Sedih rasa di hati ini. Di situlah tempat saya menunggu bot untuk ke pekan Kuala Kangsar sebelum jambatan Sayong dibina. T_T

Mak saya tidak berpindah ke pusat pemindahan kerana air tak masuk ke rumah. Lagi pun tekanan darah tinggi mak naik sehingga 209/98. Abang-abang cakap, lebih baik mak rehat saja di rumah. Kesian mak stress disebabkan banjir kali ini. Alhamdulillah ....ada adik-beradik yang duduk dekat dengan mak.


Pemandangan kampung Sayong Lembah dari Rumah Rehat Kuala Kangsar pada 28hb Disember 2014.

28hb saya nekad balik ke kampung bila tau mak demam. Kesian mak. Walau pun abang-abang ada, mereka masing-masing pun bekerja. Terbayang-bayang keadaan mak sorang-sorang di rumah. Sampai di Kuala Kangsar, terus tengok persekitaran banjir dulu yang dah nampak surut sikit. Sedihnya tengok. Saya tak tahu bagaimana pulak rasanya kalau dapat melihat sendiri suasana banjir di Kuala Krai. Mesti saya pun banjir gamaknya. T_T

Inilah kuasa Allah yang Maha Besar. Ujian ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menambah pahala seluas-luasnya kepada mereka yang redha dan beriman. Sebagai tanda rindunya Allah mendengar rintihan hambaNya. Kita semua insan yang kerdil di sisiNya. Semuanya hanya pinjaman semata-mata.....

Sampai je di rumah mak, tengok dulu apa yang mak makan. Rupa-rupanya ada bubur nasi kosong je. Nasib baik anak mak ni balik. Boleh masak untuk mak. Lepas masak, nampak muka sepupu saya di kaca tv1. Bukan beliau saja, ramai saudara-mara saya diinterview pelbagai channel. Rasa kelakar pun ada bila nampak makcik saya kelam-kabut mengenakan tudung bila nampak kamera. Patut pun abang saya tak benarkan mak saya yang tak sihat berada di pusat pemindahan. Boleh naik lagi tekanan darah mak saya dalam keadaan tak cukup rehat macam tu.  Kini mak saya Alhamdulillah dah sihat. Tapi rumah memang kena gotong-royong mengemas la nampaknya. Tunggu air betul-betul surut dulu. Kita doakan yang baik-baik saja untuk negara kita ye.....

Keseluruhan tahun 2014 walaupun di penghujungnya ada duka, saya tetap mensyukuri perjalanannya. Kebanyakannya pengalaman manis dan indah. Dapat jumpa ramai kawan-kawan yang dah terlalu lama tak berjumpa, dimurahkan rezeki dengan pelbagai destinasi percutian, diberikan kesihatan yang baik, kerjaya yang agak bagus, keluarga yang bahagia......Alhamdulillah. Nikmat yang mana mahu kudustakan ya Allah. Alhamdulillah syukur...

2015 walaupun agak perit untuk dilalui, insyaAllah akan dilalui dengan azam untuk menjadi lebih baik. Mudah-mudahan...aamiiin....




1 Comments

  1. Yana....banjir kali ni memang teruk,kan...tengok saja kat Kelantan nun...apa pun didoakan agar mak Yana makin sihat...

    ReplyDelete