Salam sejahtera, readers. Baru-baru ini Alam Flora Sdn. Bhd (Alam Flora) telah menganjurkan program 'Recycle Fest' bersama Malakat Mall pada 8 Disember 2021 lalu bagi meningkatkan kesedaran kepada masyarakat betapa kita semua perlu berganding bahu dalam usaha menguruskan sisa pepejal (sampah) bagi mengurangkan impak kepada alam sekitar demi persekiran dan kesihatan yang lebih baik.
Pelbagai usaha telah dilakukan oleh Alam Flora demi mencapai matlamat meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat dan membantu misi ini tercapai. Salah satu inisiatif Alam Flora ialah menyediakan 3R ON WHEELS iaitu kenderaan khas untuk masyarakat sekitar menghantar barangan terpakai mereka untuk dikitar semula seperti bahan plastik, kertas, minyak masak dan lain-lain.
Program kerjasama dengan pihak pengurusan Malakat Mall telah disempurnakan oleh Dato Mohd Zain Hassan selaku Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora dengan penyerahan tong minyak masak terpakai kepada wakil-wakil restoran yang terdapat di mall tersebut.
Dato Mohd Zain Hassan ketika memberikan ucapan memberitahu 3R ON WHEELS telah mengutip sebanyak 121,000 kilogram barangan kitar semula sejak ia diperkenalkan pada tahun 2019. Banyak, kan? Menurutnya lagi, 'Recycle Fest' adalah satu usaha proaktif Alam Flora dalam menyokong hasrat Kerajaan untuk melaksanakan pengasingan sisa di punca, pengalihan sisa sekaligus menjadikan aktiviti 3R (Guna Semula, Kurangkan, Kitar Semula) dapat memenuhi sasaran kerajaan untuk mencapai kadar kitar semula sebanyak 40% menjelang 2025.
Pelbagai acara menarik diadakan termasuk aktiviti pertandingan mewarna, 'doodling', 'walkabout' kutipan barangan kitar semula '3R ON WHEELS' dan kuiz Kahoot pada program tersebut. Memang happening.
Saya pun baru melihat '3R ON WHEELS' ini pada program tersebut. Menurut Dato Mohd Zain, "Ini adalah salah satu sebab mengapa '3R ON WHEELS' diwujudkan. Kami datang ke tempat anda dan anda hanya perlu menyimpan barang yang boleh dikitar semula. Jangan buang tetapi jual kepada kami."
Kenderaan '3R ON WHEELS' menggunakan kaedah 'roving' di mana mudah disasarkan kepada penduduk setempat, sekolah, organisasi kerajaan dan swasta serta kawasan awam yang menjadi kawasan konsesi Alam Flora iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang. Alam Flora juga berhasrat menambah bilangan kenderaan ini demi kemudahan orang awam di masa depan.
Hantar barangan kitar semula anda dan nikmati insentif wang tunai dan mata ganjaran Petronas. Best sangat ni. Boleh buat beli ais krim. Berbaloi-baloi tukarkan barangan kitar semula bersama Alam Flora. Duit dapat, pahala pun dapat bila kita sama-sama berbuat kebaikan menjaga alam sekitar.
Saya sudah mula mengumpul minyak masak terpakai sejak beberapa bulan yang lalu. Lepas ni dah tau nak hantar ke mana. Semak jadual dan lokasi '3RON WHEELS' di instagram alamflorasdnbhd, Facebook dan Twitter Alam Flora. Jom kitar semula!
0 Comments